• info@sabahtalk.com
  • Borneo,
    Kota Kinabalu, Sabah, MY

Bahasa

Sabah Setuju Syor Perlembagaan Dipinda

 

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju untuk mengemukakan kepada kerajaan pusat satu syor meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menyusun semula senarai negeri di Malaysia bagi mencerminkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang membentuk Malaysia, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

 

Beliau berkata cadangan itu wajar dipertimbangkan untuk kebaikan dan manfaat rakyat serta negeri ini.

 

"Apa sahaja cadangan yang baik dan memberi manfaat kepada rakyat dan negeri, kita (kerajaan negeri) akan terima.

 

"Apa yang disyorkan oleh Yang Berhormat itu (Adun Usukan), kalau kita minta, ia (syor) akan dimajukan kepada jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa pemandu berkaitan dan seterusnya kepada kerajaan pusat dan Perdana Menteri," katanya.

 

Musa berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (BN-Usukan) yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini Isnin.

 

Salleh berkata, penyusunan itu akan mencerminkan dengan jelas status negeri Sabah dan Sarawak iaitu Kategori A untuk negeri-negeri di Sememanjung dan Kategori B untuk Sabah dan Sarawak.

 

Katanya Sabah dan Sarawak merupakan rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia dan bukan sekadar salah sebuah negeri di dalam negara.

 

Ini adalah untuk menentukan keadaan bahawa ia selari dengan asas penubuhan negara Malaysia, katanya.

 

Terdahulu, Musa berkata kerajaan negeri menyokong pembentukan jawatankuasa di peringkat persekutuan iaitu Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pemandu bagi mengkaji hak Sabah secara keseluruhan di bawah Perlembagaan Persekutuan Hak Hasil Sabah, Akta Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963.

 

Jawatankuasa berkenaan ditubuhkan susulan mesyuarat pertama mengenai pelaksanaan penurunan kuasa kepada Sabah dan Sarawak yang diadakan di Kuala Lumpur pada Jun lepas yang dipengerusikan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

 

Musa berkata kerajaan negeri berpendapat bahawa apa juga semakan terhadap hak negeri di bawah perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan harus dilakukan berdasarkan kerajaan kepada kerajaan.

 

"Di samping itu, peranan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Teo Chee Kang, khususnya untuk mengkaji geran khas sejajar dengan Bahagian Empat Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan telah diperluas secara keseluruhan untuk mewakili kerajaan negeri dan seterusnya melaporkan kepada kabinet negeri Sabah," katanya. - BERNAMA

DAP MEMUTAR BELIT FAKTA BAJET SABAH

 

Timbalan Pengerusi Perhubungan MCA Sabah, Datuk Francis Goh membidas kenyataan Pengerusi Perhubungan Parti DAP, YB Stephen Wong dan Setiausaha politiknya Encik Ginger Pung, yang mengkritik Bajet Sabah 2018 adalah tidak setanding dengan negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat kerana peruntukan untuk pembangunan tidak mencecah 50% daripada keseluruhan bajet.

 

Datuk Francis Goh berkata “kalau begitu, mari kita buat perbandingan di antara bajet Sabah 2018 dengan bajet Penang 2018 seperti huraian di bawah”:-

 

1) Bajet Sabah 2018 memperuntukkan RM 4.104 Billion dan mempunyai baki sejumlah RM 64 Juta, manakala bajet Penang 2018 hanya memperuntukkan RM 1.3 Billion dan mempunyai deficit RM 503 Juta. Kerajaan Sabah meraikan bajet berbaki positif berturut-turut semenjak 16 tahun lagi di bawah pimpinan YAB Tan Sri Musa Hj. Aman, manakala Negeri Pulau Pinang mengalami bajet difisit pada tahun 2016 sebanyak RM 209.213 Juta, 2017 difisit sebanyak RM 666.71 Juta.  Justeru itu, DAP Sabah hanya tahu mengutuk tanpa melihat cermin untuk meninjau status kewangan Negeri Pulau Pinang yang kian merosot dan terpaksa menjual tanah kerajaan untuk menutup lubang difisit tersebut.

 

2) Peruntukan untuk pembangunan dalam bajet Sabah 2018 adalah 1.09 Billion atau 26% daripada bajet keseluruhan.  Manakala peruntukan untuk pembangunan di Pulai Pinang hanya berjumlah RM 218.2 Juta atau 17% daripada jumlah keseluruhan bajet Pulau Pinang.  Bajet Sabah adalah 33 kali ganda lebih besar daripada Pulau Pinang, kalaupun ditolak pendapatan melalui 5% Royalti Minyak, (RM 1.318 Billion), bajet Sabah masih 2.4 kali ganda lebih besar daripada Pulau Pinang.

 

3) Jangan lupa, keluasan Sabah adalah 69kali lebih besar daripada Pulau Pinang.  Dari segi pentadbiran dan pembangunan, Pulau Pinang adalah lebih mudah dan seharusnya pembangunan yang lebih maju lebih senang untuk dikecapi oleh Pulau Pinang, tetapi sebaliknya Sabah lebih maju dari segi pentadbiran kewangan yang terbukti melalui bajet berbaki positif berturut-turut 16 tahun.

 

4) Bajet Pulau Pinang hanya memperuntukkan hanya RM10 juta untuk kerja-kerja pencegahan banjir dan tanah runtuh di lereng bukit walaupun Pulau Pinang telah mengalami 120 kali banjir kilat semanjak tahun 2013. Manakala Bajet Sabah telah memperuntukkan RM 92 Juta untuk kerja-kerja pencegahan banjir di Daerah Tawau, Semporna, Semporna, Menggatal, Telipok, Beaufort, Putatan, Beluran dan Telupid.  Kerajaan Pulau Pinang telah mengabaikan masalah banjir kilat dan runtuhan lereng bukit yang begitu serius sebaliknya memperuntukkan sebanyak RM 130 Juta untuk membina stadium-stadium dan gelanggang badminton untuk memperkasakan imej sebagai satu “Negeri Badminton”.

 

5) Bajet Pulau Pinang tidak menyentuh sebarang pengagihan dana bantuan kepada sekolah-sekolah swasta Cina atau tokong-tokong Cina, sebaliknya hanya memperuntukkan RM 1.1 Juta untuk Jawatankuasa Kuil Hindu.  Kerajaan DAP yang bergantung kepada undi masyarakat Cina di Pulau Pinang tidak mengenang budi masyarakat Cina sebaliknya memperuntukkan RM 53 Juta untuk hal ehwal muslim, yang menampakkan pertambahan peruntukan daripada tahun lalu, iaitu RM50 Juta.  Manakala bajet Sabah di bawah kerajaan Barisan Nasional, sejumlah RM12 Juta telah diberikan kepada semua Sekolah Cina swasta, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) dan RM 20 Juta untuk sekolah-sekolah mubaligh, tokong-tokong dan gereja.  Ini bermaksud YAB Tan Sri Musa Hj Aman lebih berjiwa rakyat kerana adil dan saksama melayan semua agama dan kaum di Sabah.

 

6) Pulau Pinang juga adalah negeri yang ekonominya bergantung kepada pelancongan, tetapi bajetnya tidak menyentuh sebarang peruntukan untuk mempergiatkan aktiviti-aktiviti pelancongan, malah bajet Sabah telah memperuntukkan RM 228 Juta untuk usaha mempergiatkan sector pelancongan di Sabah. Daripada perbandingan yang dibuat di atas, jelas sekali bajet 2018 Sabah adalah lebih mantap, proaktif dan 3 kali lebih baik berbanding dengan bajet Pulau Pinang yang lesu dan tidak menepati sasaran pembangunan dan pencapaian ekonomi.  Justeru itu sekali lagi Datuk Francis Goh menasihatkan pihak DAP agar jangan lagi mengelirukan rakyat Sabah kerana mereka hendaklah berlaku adil dengan mengkritik bajet Pulau Pinang terdahulu sebelum tunjuk pandai untuk memperlekehkan Bajet Sabah 2018.

 

Datuk Francis Goh

Timbalan Pengerusi

 

Pejabat Perhubungan MCA Sabah