• info@sabahtalk.com
  • Borneo,
    Kota Kinabalu, Sabah, MY

 

Mahathir bertujuan lawan tetap lawan dengan Sultan Selangor

 

DR Mahathir Mohamad sudah mengembalikan dua pingat yang diterimanya daripada Sultan Selangor, termasuk satu darjah kebesaran tertinggi negeri itu,   kata sumber.

 

Kedua-dua pingat itu dipulangkan pada petang Khamis dan diserahkan kepada seorang pegawai kanan di pejabat Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam, kata seorang sumber.

 

"Alasannya jelas," kata seorang lagi sumber, yang maklum tentang tindakan memulangkan pingat negeri berkenaan. Sumber itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

 

The Malaysian Insight cuba mendapatkan pengesahan daripada Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani, namun sehingga berita ini disiar, beliau tidak dapat dihubungi dan tidak membalas mesej yang dihantar melalui WhatsApp.

 

The Malaysian Insight turut menghubungi pejabat Dr Mahathir dan menunggu jawapan.

 

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum dilaporkan murka terhadap kenyataan Dr Mahathir yang didakwa menghina masyarakat Bugis.

 

Dr Mahathir semasa di Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi di Petaling Jaya pada 14 Oktober, dalam ucapannya membidas Perdana Menteri Najib Razak sebagai "keturunan lanun Bugis".

 

Dewan Diraja Selangor pada 2 November lepas mengeluarkan kenyataan menyebut Sultan Selangor memandang serius, murka dan amat kecewa dengan kenyataan Dr Mahathir itu.

 

Kenyataan Dr Mahathir itu disifatkan cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong bangsa Bugis kononnya berasal usul daripada golongan lanun, perompak dan penjenayah.

 

"Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal dari Bugis," kata kenyataan itu.

 

Dewan Diraja Selangor turut berpandangan Dr Mahathir wajar disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan.

 

Melalui kenyataan yang sama, Sultan Selangor turut mengingatkan semua pihak terutama pemimpin politik untuk tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik kerana ia boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat.

 

Tindakan memulangkan darjah kebesaran itu dibuat dua hari selepas Sultan Selangor menjelaskan kemurkaan baginda tersebut dalam satu wawancara dengan The Star minggu lalu.

 

Dalam wawancara itu, Sultan Selangor bertitah baginda hanya menegur Dr Mahathir setelah menyemak kenyataan bekas perdana menteri itu dengan beberapa orang yang tahu mengenainya.

 

Semakan di laman web Darjah Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan menunjukkan Dr Mahathir menerima dua darjah kebesaran dari Sultan Selangor, pada 1978 dan 2003.

 

Dr Mahathir menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Darjah Kelas Pertama pada 22 Jun 1978, yang ketika itu membawa gelaran Datuk. Pingat ini dikurniakan hanya kepada dua orang pada satu-satu masa dan kuota maksimum penerimanya ialah 40 orang. Sejak 1998, pingat itu membawa gelaran Datuk Seri.

 

Kira-kira sebulan sebelum persaraannya pada Oktober 2003, Dr Mahathir dianugerahkan Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) pada majlis Jasamu Dikenang di Istana Shah Alam, Klang.

 

Anugerah yang hanya dikurniakan kepada maksimum 25 orang pada satu-satu masa itu diberikan sebagai penghargaan kerajaan negeri Selangor terhadap sumbangan dan jasa beliau kepada rakyat Selangor selama jadi Perdana Menteri, lapor Bernama.

 

Sultan Sharafuddin Idris Shah pada majlis itu bertitah baginda berbesar hati mengurniakan DK kepada Dr Mahathir, yang dikenalinya secara peribadi sejak 1970 sebagai rakan akrab almarhum ayahandanya, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, lapor The Star ketika itu.

 

Namun, keadaan keruh selepas ucapan Dr Mahathir pada rapat umum di Petaling Jaya itu yang didakwa menghina masyarakat Bugis.

 

Video petikan ucapan itu kemudiannya tular di media sosial dan mendapat bantahan daripada masyarakat Bugis di Malaysia, termasuk sebahagian di Indonesia.

 

Antara yang menegur dan kesal dengan kenyataan Dr Mahathir itu termasuklah Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla, yang berasal dari Sulawesi Selatan.

 

Dr Mahathir ketika itu menjelaskan beliau bukannya menghina suku Bugis tetapi hanya mengata kepada Perdana Menteri Najib Razak yang selalu berbangga dengan keturunan Bugisnya.

 

"Ucapan saya dituju kepada Najib yang sering mendakwa dia pahlawan Bugis. Pahlawan Bugis tidak mencuri," katanya dalam satu tulisan di blognya pada 26 Oktober lepas. – 11 Disember, 2017.

 

themalaysianinsight.com